Anis
Anis - 7 September 2000.
Terbuka saja pintu bilik asrama, aku tergesa-gesa mencampakkan fail dan buku-buku di tanganku. Aku terus duduk di kerusi berhadapan sebuah meja bertingkat dan sebuah komputer peribadi PIII di tingkat atasnya. Suis komputer kuhidupkan serta-merta. Dalam tempoh kurang dari lima minit, komputer itu sudah bersedia untuk digunakan. Aku memerhati sebentar, memikir rangkaian yang ingin ku masuki hari ini. Sepantas itu pula tanganku menggerakkan tetikus untuk memulakan program komunikasi internet komputer tersebut. Terlalu banyak pilihan. Kengkawan Webtenet, Kedai Cafe Chat, Anjung Kopi, Chat Melayu atau Borak. Akhirnya...
Dail: 123-RIA-NET-007. OK.
Komunikasi: Sambungan TCP/IP, PPP, OK.
Login: Anis.
Password: ********.
Mesej Sistem: Selamat Datang ke Perbualan Sistem RIA. Welcome to RIA Chat System.
Anis: Ada sesiapa di sini ?
Sistem RIA: ???
Anis: Ada sesiapa di sini ? Saya sedang bercakap seorang diri.
Iman: Ada. Saya sorang saja di sini. Dah setengah jam menunggu. Tadi ada dua orang dah offline.
Anis: Apa topik hari ni ?
Iman: Puisi.
Anis: Tak ada tajuk lain ke ?
Iman: Mungkin lain kali.
Anis: Apa yang istimewa tajuk hari ini ?
Iman: Cuba semak maklumat peribadi saya. Ada sesuatu di situ.
Aku pun mengklik pada nama Iman tersebut. Ada beberapa maklumat di situ. Nama: Iman. Alamat emel: iman@RIA.net. Hompej: http://www.Iman.RIA.net/. Maklumat lain semuanya kosong.
Anis: Tak ada apa pun yang istimewa.
Iman: Cuba klik pada hompej berkenaan dan pilih Koleksi Puisi.
Aku pun melaksanakan apa yang disuruh. Ku buka satu lagi browser. Terpapar satu hompej peribadi pada skrin komputer. Ku lihat pada menu utama terdapat satu Koleksi Puisi. Aku mengklik pada butang Koleksi Puisi tersebut. Satu senarai lain terpapar. Suatu kata pengenalan dan senarai nama penyair. Terdapat lebih daripada tiga puluh nama dalam senarai itu.
Anis: Saya tak pernah dengar nama-nama penyair ini.
Iman: Mereka semua adalah Penyair Maya.
Anis: Apa maksud awak ?
Iman: Penyair Maya hanya melahirkan karya mereka di alam cyber. Suatu dunia yang tidak membataskan usia, agama dan keturunan. Suatu dunia yang tidak bersempadan.
Anis: Siapa yang akan menilainya ?
Iman: Entahlah. Masih terlalu awal untuk membincangkan soal itu. Arahnya pun masih belum jelas. Tapi pengikutnya telah ada. Cuba lihat pada statistik halaman web itu. Anyway, siapa nama awak ?
Anis: Anis...
Iman: Bukan nama samaran ?
Anis: Bukan. Nama awak ?
Iman: Iman. Juga bukan nama samaran.
Aku terhenti sebentar. Tak tahu samada hendak meneruskan dengan soalan peribadi atau kembali kepada tajuk puisi tadi. Iman seakan tidak berminat dengan persoalan peribadi itu. Tidak seperti apabila berada di Sistem Chat yang lain.
Iman: Awak tak 'ndak sertai Koleksi Puisi saya ?
Anis: Boleh juga. Tapi puisi saya masih baru. Takut belum mencapai tahap karya-karya dalam Koleksi awak.
Iman: Tak jadi masalah. Kami saling membantu dalam bidang ini. Cubalah dulu.
Anis: Saya nak hantar ke mana ?
Iman: Hantar saja karya awak menerusi emel kepada alamat emel saya.
Anis: OK. Saya akan cuba nanti.
Terhenti lagi. Tajuk itu nampak kurang menarik minat. Perbualan mengenai tajuk itu tidak berkembang.
Anis: Saya nak keluar. Logout. Jumpa lagi nanti.
Iman: OK. Jumpa lagi. Assalamualaikum.
Anis: Waalaikummussalam.
Sistem RIA: Logout.
Mesej Sistem: Jumpa lagi Anis. Bye.
Aku kembali kepada browser. Dan mula melayari Koleksi Puisi tersebut. Aku terus mengklik pada salah satu nama dalam senarai. Puisi Iman. Terpapar satu lagi senarai puisi yang berbagai tajuk. Jelas daripada tajuk puisi itu semuanya bertemakan cinta. Ku pilih salah satu tajuk. Kembali Ke Titik Mula. Mata ku terpaku menatap bait-bait puisi itu. Terasa hampir serupa dengan kisah diriku. Cuma maknanya agak samar. Agak kabur. Hatiku berdetak.
Aku kembali kepada Menu Utama. Ku pilih puisi yang lain pula. Kisah yang hampir serupa terpapar pada skrin di depan mata ku. Tentang kekecewaan. Mata ku terpaku sekali lagi di situ.
Dan aku meneruskan dari satu puisi ke satu puisi tanpa jemu. Seakan ada sesuatu yang membuatku terus terikat di situ.
Aku berhenti apabila jam di skrin telah pun menunjukkan angka 1.00 pagi. Hampir lima jam telah ku habiskan waktu ku di situ. Sesuatu yang tak pernah ku lakukan sebelum ini. Biasanya paling lama aku boleh bertahan selama tiga jam. Ada suatu kelainan pada hompej yang baru ku lawati itu. Sesuatu yang menarik perhatian. Sesuatu yang menyentuh rasa hati ku. Sesuatu yang pernah ku alami...
Menjadi moderator Sistem Chat kadang-kadang menarik dan kadang-kadang menjemukan. Seperti hari ini, cuma dua orang pengunjung sahaja yang menggunakannya. Dan pengunjung berkenaan seakan tidak berminat dengan topik yang ku bawakan pada hari ini. Nampaknya aku terpaksalah mencari tajuk yang lebih menarik pada hari esok. Tajuk yang lebih sesuai dengan kehendak pengunjung Sistem Chat ini.
Takkanlah disebabkan hari ini hari Isnin menjadi punca ketiadaan pengunjung. Mengikut statistik Sistem Chat ini, cuma hari Sabtu dan Ahad sahaja mempunyai bilangan pengguna yang terendah. Aku mengagak ia berpunca dari bilangan penggguna yang kebanyakannya menggunakan kemudahan internet di pejabat masing-masing.
Pengunjung ketiga yang bernama Anis sebentar tadi langsung tak menunjukkan minat pada tajuk yang kubawakan hari ini. Apa yang silapnya pada tajuk ini agaknya. Tak apalah, esok mungkin aku boleh membawa tajuk lain yang mungkin lebih menarik seperti yang berkaitan dengan muzik. Mungkin tajuk MIDI atau MP3 atau Real Audio. Atau mungkin cuma tajuk Lirik Lagu sahaja.
Atau aku boleh meminta pendapat rakan-rakan untuk tajuk kali ini. Tapi aku tak pernah berbuat begitu sebelumnya. Selama ini semua tajuk yang ku bawa adalah dari idea dan pandangan ku sendiri. Agaknya idea yang aku ada tidak sebaik mana. Mana tahu, rakan-rakan ku mungkin mempunyai banyak idea yang jauh lebih baik dari idea ku. Mereka nampaknya lebih arif tentang dunia muzik.
Tapi siapakah gadis Anis tadi. Jarang benar ku temui pengunjung yang menggunakan nama sebenar. Selalunya pengunjung menggunakan nama samaran yang berbagai-bagai. Agaknya pengunjung ini masih baru dalam bidang ini. Masih baru dalam melayari dunia Internet yang ku panggil Dunia Maya ini.
Dia nampaknya seperti seorang yang jujur. Tapi tak nampak adanya persamaan minat dengan ku. Kalaulah dia meminati puisi alangkah baiknya. Boleh jadi satu permulaan yang menarik untuk sebuah persahabatan. Aku pun tak mempunyai ramai rakan perempuan di kampus ini.
Aku bercadang menemui Mama hari ini. Menemui keluargaku. Tiba-tiba sahaja aku teringat Mama. Rasanya dah lama benar aku tidak menemui mereka. Cuma sesekali aku menghubungi Mama pada waktu malam. Ketika aku bersendirian dan merasa kesunyian. Hidup di kampus ini memang sibuk. Walaupun terdapat kebebasan belajar sendiri, namun rasa tanggungjawab membuatkan aku tidak dapat lari dari menghabiskan masa di hadapan buku-buku.
Agaknya Mama sihat waktu ini. Memang Mama sentiasa nampak gembira. Ada sesuatu yang ingin kukatakan padanya. Ingin kuadukan. Ingin kutanyakan. Sesuatu yang menyentuh perasaanku. Sesuatu yang tak dapat kubuat keputusan. Atau sesuatu yang tiba-tiba mengganggu ketenanganku. Yang tiba-tiba menjadi sebahagian dari kehidupanku. Yang sentiasa berligar dalam mindaku.
Hari ini hari sabtu. Sebaik sahaja kuliahku yang terakhir berakhir pada jam 12.00 tengahari, aku bergegas kembali ke asrama. Membungkus sedikit pakaian untuk hujung minggu dan meninggalkan pesanan kepada rakan di bilik sebelah. Kutinggalkan sesalinan kunci bilikku untuk keselamatan sebab kadang-kadang aku sendiri tertinggal kunci di merata tempat. Amatlah menyusahkan jika tak dapat membuka pintu bilik asramaku. Penyelia asrama, Puan Mariam, pasti akan memberikan ceramah yang panjang sebelum dapat meminjamkan salinan kunci yang ada dalam simpanan di Pejabat Asrama.
Aku seolah-olah berlari kecil semasa menuruni anak tangga yang tinggi menuju ke perhentian bas di hadapan asrama. Bangunan blok asrama berada di seberang jalan, berhadapan dengan bangunan-bangunan Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Pengajian Islam. Tetapi disebabkan kedudukan asrama di atas bukit, akan terasa juga jauhnya berjalan kaki semasa hendak menghadiri kuliah. Yang paling memenatkan ialah ketika menuruni atau menaiki anak tangga yang melebihi satu ratus itu. Terutama jika berjalan sendirian dan di tengah panas terik matahari seperti sekarang ini. Perhentian bas kecil itu terletak di tepi jalan yang menjadi pemisah antara kedua-dua kawasan asrama dan fakulti.
Perhentian bas itu agak sunyi tengahari ini. Terdapat dua kerusi panjang yang boleh memuatkan tiga orang setiap satu. Aku memilih kerusi di sebelah kanan dan terus melabuhkan punggung di bahagian tengahnya. Seolah tidak membenarkan orang lain untuk turut serta. Kulihat bumbung perhentian bas itu dah uzur benar. Terdapat beberapa cahaya kecil menembusinya dan membentuk bulatan sebesar duit syiling 50 sen di lantai simen yang sudah ada kesan retak halus. Besi penghalang keselamatan di hadapanku pun sudah lama tidak dicat semula. Sudah kelihatan kesan karat yang kemerahan bercampur dengan cat kuning yang sudah nampak menggelupas.
Cuma aku sahaja yang sampai dulu di situ. Terlalu awal. Masih ada masa lebih kurang setengah jam lagi menjelang pukul satu. Menjelang ketibaan bas yang berikutnya. Bas khas ke kampus ini cuma lalu selang satu jam. Sepatutnya aku dah buat keputusan untuk mengambil ujian lesen menunggang motosikal waktu ini. Sekarang ini, jangankan menunggang motosikal, membonceng pun aku rasa takut.
Aku merenung ke hadapan. Memandang blok fakulti yang kelihataan lengang. Balikan cahaya matahari dari tingkap kaca menyilaukan sedikit pandanganku. Kualihkan ke kiri dan kanan jalan. Tak banyak kenderaan yang lalu waktu itu. Agaknya kebanyakan mereka masih berada di dalam kelas menunggu waktu kuliah berakhir tidak lama lagi. Menjelang jam 1.00 tengahari, kampus akan menjadi sibuk dengan kenderaan kakitangan dan pelajar pulang dari tugas masing-masing samada yang bekerja atau menghadiri kuliah. Ia akan disusuli pula oleh suasana sunyi yang panjang sehinggalah petang ahad esok apabila kebanyakan mereka kembali semula ke kampus.
Aku kembali mengelamun. Teringat Mama. Teringat Papa. Dan teringat adik lelakiku yang mungkin turut sibuk di sekolahnya. Hujung minggu ini tentu dia berada di rumah. Papa tentu telah pergi menjemputnya di asrama tempat dia belajar. Keputusan cemerlang Peperiksaan PMRnya tahun lepas telah melayakkannya terpilih memasuki sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.
Apabila teringat mama, aku kembali teringat kepada peristiwa beberapa hari yang lalu. Ingin kutanyakan pada mama. Mama tentu sangat arif tentang perasaan yang tiba-tiba menyentuh naluri gadisku. Aku pasti.
Hon! Hon!
Aku dikejutkan dari lamunan oleh bunyi hon kenderaan yang kuat. Kereta berwarna biru tua tersebut berhenti betul-betul di hadapan perhentian bas tersebut. Berhenti tepat di hadapanku. Melindungi pandanganku ke arah bangunan fakulti tersebut.
Debaran dan rasa terkejutku masih belum hilang ketika terpandang kepada seorang lelaki yang sedang mengiringkan badan dan bersusah payah membuka tingkap sebelah kiri kenderaan tersebut. Mata kami bertentangan. Aku masih lagi kehilangan fikiran.
"Saudari hendak ke Kajang. Marilah saya tumpangkan. Bas lambat lagi."
Oh, pasti lelaki itu pun arif tentang suasana kehidupan kampus ini. Pasti dia juga pelajar sepertiku. Pasti pelajar senior. Aku menduga dalam keadaan fikiran tak menentu.
Tanpa kusedari, dalam keadaan serba-salah, aku telah mengambil keputusan untuk menerima tawaran lelaki tersebut. Tidak mematuhi keputusan fikiranku yang waras.
"Saya Azman. Pelajar tahun tiga. Fakulti Sistem Maklumat." Lelaki itu memperkenalkan.
Tepat seperti yang kuduga. Pelajar senior. Patutkah aku mengelakkan dari mengenalinya. Seperti saranan beberapa rakan sekelasku. Tetapi aku telah terlanjur berada dalam kenderaan tersebut yang sedang meluncur laju meninggalkan kawasan kampus menuju ke pekan berhampiran. Aku masih merasakan keputusan yang kuambil adalah kurang wajar. Tetapi sedikit sebanyak hati kecilku membuat telahan bahawa lelaki itu tentulah bersikap jujur dan ikhlas menumpangkanku.
"Awak pejalar tahun satu, kan?" Lelaki itu meneka. "Saya ada nampak awak semasa Minggu Suaikenal yang lepas."
"Ya. Saya Anis. Saya dari Fakulti Sains Sosial." Kataku.
"Anis?" Lelaki itu terdiam.
Jawapanku rupanya menjadi penutup segala bicara. Suasana kembali sepi. Lelaki itu terlalu memberi tumpuan kepada pemanduannya. Aku yang jarang berbual dengan mana-mana lelaki pun agak kelu untuk mencari tajuk lain yang sesuai. Mungkin ada kebaikannya. Tiada sebab untuk memulakan persahabatan dalam suasana yang tidak dijangka itu. Tiada sebabnya.
Aku sampai ke tempat kerja tepat pada jam dua petang. Seperti biasa Cik Rosnah telah bersiap-siap berkemas dengan solekan gincu merah yang ringkas menunggu ketibaanku. Aku terus mengetik kad perakam waktu yang tersusun di dalam ruangan di tepi dinding bersebelahan pintu masuk.
"Bagaimana dengan pelanggan hari ini, bos? Ramai tak?" Aku segera bertanya setelah meletakkan kembali kad perakam waktuku ke tempat asalnya.
"Macam biasa. Hari sabtu." Jawab Cik Rosnah, pendek."Nah kunci kedai, jangan lupa pulak nanti."
Cik Rosnah adalah pemilik dan pekerja tetap di Cyber Cafe tersebut. Dia bertugas pada waktu pejabat biasa. Dan bercuti secara bergilir pada hari sabtu. Aku pula bekerja secara sambilan mulai jam 5.00 petang hingga 10.00 malam pada hari-hari biasa. Dan mulai jam 2.00 petang hingga 7.00 malam pada hari Sabtu. Hari Ahad selalunya ditutup melainkan jika terdapat permintaan yang tinggi terutama semasa pelajar-pelajar universiti dan kolej berhampiran sibuk menyediakan kertas kerja projek.
Aku tak pernah melepaskan peluang untuk membuat 'overtime' pada masa tersebut.
Sudah hampir 2 tahun aku bekerja di sini. Dah jadi macam pekerja sambilan yang tetap. Cik Rosnah, bosku itu, tentulah lebih lama lagi. Kalau tak silap aku dia pernah memberitahu Cyber Cafe tersebut sudah berusia melebihi 7 tahun. Ini bermakna ia telah dibuka sejak aku di bangku sekolah menengah lagi kalau dibuat perbandingan masa.
Ada juga perkara lain yang membuat aku terus setia di sini. Bekerja di sini memberikan aku waktu internet percuma di samping elaun untukku menampung beban perbelanjaan belajar di universiti. Sekurang-kurangnya aku tidak terlalu bergantung kepada wang pinjaman yang cukup untuk menyara makan dan yuran pengajian. Aku memang tidak mampu memiliki sebuah komputer dan akaun internet sendiri.
Dan yang paling utama adalah kerana kepercayaan yang diberikan oleh bosku terhadap tugasku. Selain dari itu, Cik Rosnah juga amat bertimbang rasa dan memahami terutama dari segi kewangan. Malah sejak bertugas di Cyber cafe itu, aku belum pernah mengalami kedudukan kewangan yang sempit.
Selepas melayani beberapa pelanggan, aku kembali menghadapi komputer khas di meja terletaknya kaunter bayaran. Cik Rosnah juga akan duduk di situ semasa semua pelanggan sibuk menghadapi komputer masing-masing.
Kudapati hanya tujuh dari sejumlah 15 unit komputer dalam kedai tersebut berpenghuni. Yang lainnya tinggal sepi. Kebanyakan pelanggan hari ini datang bersendirian. Jadi ruang kedai itu agak sunyi dari sebarang perbualan. Cuma bunyi ketukan pantas papan kekunci yang jelas kedengaran.
Dail: 123-RIA-NET-007. OK.
Komunikasi: Sambungan TCP/IP, PPP, OK.
Login: Iman.

Mesej Sistem: Anda adalah Pengendali Perbualan Sistem RIA. Your are moderator of RIA Chat System.
Aku menyemak Statistik Pengguna. Tak ada sesiapa yang memasuki Sistem ini. Aku beralih ke ruangan 'Chat system setup'. Menukar tajuk perbualan kepada 'MP3'. Dan kemudian menunggu beberapa minit. Masih tiada sesiapa.
Akhirnya aku kembali kepada Statistik Pengguna. Menyemak bilangan pengguna untuk tempoh 24 jam terakhir. Ada 13 pengguna. Tetapi kebanyakannya adalah pengguna yang tidak berdaftar. Yang hanya datang mencuba sekali sistem 'chat' ini. Kebanyakan mereka jarang kembali. Aku terus meneliti senarai nama pengguna tersebut. Hampa. Tiada nama yang kucari-cari dan harapkan.
Aku terus membuka tetingkap browser yang baru. Seterusnya menaip http://www.Iman.RIA.net/. Statistik pengunjung telah meningkat. Terutama ruangan Koleksi Puisi. Satu perkembangan yang bagus, getar hatiku.
Aku membuka satu lagi tetingkap. Kali ini Notepad. Jariku terhenti. Mataku terpaku ke hadapan. Tetapi pandangan tersebut tidak bermakna kerana fikiranku tertumpu kepada sesuatu yang baru.
Jariku serta-merta menaip pantas. "Di Akhir Pertemuan oleh Iman". Aku tersenyum sendirian. Banyak sangat imaginasiku berbanding realiti. Mengharap sesuatu yang besar terjadi dari peristiwa yang terlalu kecil. Patutkah aku dedikasikan puisi ini kepada seseorang. Kepada seseorang yang kubayangkan dalam khayalanku. Yang terakam dalam puisi ini. Ah, lupakan sahaja, kata hati kecilku. Namun begitu jari-jemariku terus pantas menghabiskan rangkap kelima puisi tersebut.
Haruskah aku kemaskinikan ke dalam Koleksi Puisi sekarang juga. Atau menunggu untuk tempoh masa tertentu seperti biasa. Untuk memberi ruang kepadaku memperbaiki mana-mana rangkaikata yang kurasakan janggal. Ya, mungkin minggu hadapan lebih sesuai.
"Berapa, Bang?"
Aku dikejutkan oleh salah seorang pelanggan yang telah pun berada tepat dihadapanku. Jauh jugak lamunanku hingga tidak sedar kehadirannya. Seorang budak berusia sekitar 17 tahun berdasarkan kepada raut wajahnya.
"Sapa nama adik tadi? Oh, Ahmad. 2 jam. Jumlah enam ringgit. Nak resit?"
"Tak payahlah, Bang. Nah RM6.00. Terimakasih, Bang."
"Sama-sama. Jumpa lagi nanti..."
Kulihat jam di dinding baru menunjukkan jam 3.30 petang. Masih terlalu awal. Apakah yang patut aku buat untuk tempoh selanjutnya? Apakah?...
Teksi yang kunaiki berhenti tepat di depan rumahku yang kedudukannya agak jauh dari Pekan Ampang. Semasa di Kuala Lumpur tadi aku mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Tak sanggup aku menunggu lama di perhentian bas di hadapan kompleks membeli-belah Ampang Park.
Perjalanan balik kali ini kurasakan agak cepat dari biasa. Ucapan terimakasih ku yang tak terhingga kepada pelajar senior bernama Azman yang menumpangkan aku sehingga ke Pekan Kajang. Ditambah pula dengan keputusanku menaiki teksi terus dari Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya ia telah dapat menjimatkan hampir sejam masa perjalananku. Atau lebih tepat lagi hampir sejam masa menunggu.
Kubuka pintu pagar hitam yang berukiran ringkas corak bunga besar yang tidak begitu ketara jika dilihat dari jarak dekat. Ensel pintu tersebut memang jarang berkunci. Pintu pagar hitam itu selalunya cuma dirapatkan sahaja untuk memudahkan jiran-jiran atau tetamu masuk. Tidak terdapat loceng penggera sebab papa merasakan agak sukar hendak membuat sambungan elektrik dari dalam rumah hingga ke situ. Sebab itulah pada waktu malam halaman depan rumahku amat bergantung kepada lampu awan yang terletak di sudut kiri di luar pagar.
Aku menyusun langkah perlahan-lahan menuju tangga. Susunan bata merah yang teratur tetapi tidak rata membentuk dua lorong yang sesuai untuk dilalui oleh sebuah kereta. Bata merah tersebut dikelilingi oleh rumput permaidani hijau halus yang ditanam oleh Mama. Di kiri dan kanan lorong tersebut tersusun deretan pasu bunga besar yang dipenuhi dengan bunga kertas berbagai warna. Deretan pasu bunga yang sama terdapat di sepanjang pagar. Tetapi kedudukan pasu tersebut telah ditinggikan kerana ia diletakkannya di atas pangkin setinggi dua kaki. Ia membuatkan bunga di tepi pagar tersebut kelihatan sama paras dengan pagar separa besi setinggi 5 kaki tersebut.
Keseluruhan bahagian halaman di depan rumah membentuk dua taman kecil yang dipisahkan oleh lorong berbata merah yang sedang kulalui. Di tengah taman disebelah kiri terletak pondok orkid kecil yang dibina oleh Papa. Tetapi kesemua bunga-bunga tersebut adalah di bawah jagaan Mama. Taman di sebelah kanan pula terdapat satu buaian besi bulat yang dapat memuatkan 4 orang yang duduk secara berhadapan. Ia menjadi tempat kesukaanku sejak dulu kerana kedudukannya yang redup dan terletak di bawah rendangan sepohon rambutan yang berdaun lebat.
Rumah Papa terletak di atas tanah warisan milik ibu yang seluas hampir setengah ekar. Kedudukan tanah yang memanjang membuatkan kawasan belakang rumah agak lapang dan dipenuhi dengan pokok-pokok besar yang sudah tua. Ia membentuk dusun kecil dengan beberapa pohon buah-buahan bermusim seperti durian, manggis dan langsat. Cukup untuk kami sekeluarga dan sedikit untuk diberikan kepada jiran-jiran.
Bahagian hadapan dan tengah rumah masih berbentuk tradisional di atas tiang setinggi 3 kaki. Bahagian dapur dan ruang makan adalah rumah bawah. Rumah tersebut mempunyai 4 bilik tidur di bahagian tengah. Satu daripada bilik yang kosong menjadi surau kecil tempat solat. Ruang tamu agak luas. Namun ia kelihatan sesak kerana terdapatnya satu set sofa dan satu meja makan 6 kerusi yang perlu dialihkan semasa mengadakan majlis kecil-kecilan.
Aku duduk sebentar di tangga batu berhias marmar berwarna-warni ala tradisi Rumah Melaka untuk melepaskan penat. Cuma ia kekurangan dari segi ketinggiannya.
"Mama! Along balik, Mama!"
Satu jeritan kasar dan nyaring tetapi lembut terdengar di belakangku.
"Eh, bila adik balik?" Balasku, kehairanan. "Papa mana?" Soalku pula apabila menyedari kereta ayah tidak kelihatan di mana-mana.
"Ke surau." Jawab Mama, perlahan, yang muncul di pintu sambil menghulurkan tangan menyambut salamku.
"Pergilah mandi dan sembahyang dulu. Asar pun dah jauh. Nanti bila Papa balik, kita boleh minum sama." Tambah Mama.
Aku akur. Tak pernah membantah cakap Mama. Memang tak ada sebab untukku membantah cakap Mama. Mama terlalu baik buatku. Mama memang terlalu memanjakanku. Agaknya, sifat lemah-lembutku adalah hasil dari cara Mama mendidikku. Atau mungkin sudah memang sifat semulajadi ku demikian.
***
Aku duduk di sebelah Mama, di atas sofa panjang, di ruang tamu. Adikku, selepas minum petang, terus sahaja keluar dengan pakaian sukannya. Agaknya ke padanglah tujuannya. Papa, setelah bertanya sedikit mengenai pelajaranku, keluar lagi atas urusan perniagaannya. Kalau aku tiada, pasti Mama akan berada di taman kecil di halaman untuk menyiram pokok-pokok bunga kesayangannya.
Aku menyandarkan kepalaku ke bahu Mama bagaikan budak kecil yang ingin dibelai dan dimanjakan. Mama mengusap rambutku perlahan-lahan. Aku hampir terlena dengan belaian Mama.
Aku memalingkan kepala, menatap wajah Mama yang semakin dimamah usia. Tetapi kerut kecil masih belum kelihatan di wajah Mama. Mungkin kerana sifat Mama yang sentiasa riang tersebut melambatkan kehadiran tanda kerut kecil tersebut.
"Macamana Mama boleh kenal Papa, dulu?" Aku memulakan, bertanya sambil cuba menyembunyikan makna pertanyaanku. Kuharap Mama akan dapat meneka apa yang tersembunyi dalam mindaku.
Mama merenung mataku. Sedikit kehairanan agaknya dengan soalanku yang luarbiasa tu.
"Alah, dulu tak perlu berkenal-kenalan. Semuanya urusan keluarga. Apa yang diputuskan oleh kelaurga adalah yang terbaik buat kita."
"Tapi takkanlah sikit pun tak ambil tahu, Mama?" Aku meneruskan, mengharap Mama dapat memahami maksudku.
"Keluarga akan merisik dulu untuk memastikan. Tak semestinya bersetuju kalau tidak bersesuaian." Tambah Mama lagi.
Aku terus pura-pura tidak berpuashati dengan penjelasan Mama.
"Tak boleh ke kalau kita berkenal-kenalan dulu. Dan memahami hati budi masing-masing." Aku menguji.
"Boleh juga," sambung Mama. "Tapi jarang berlaku. Kenapa ni?" Mama sudah dapat memahami sedikit tujuanku.
"Tak ada apa-apa," jawabku. Pura-pura mengelak. Walaupun hatiku tidak sabar-sabar untuk mencurahkan isi hatiku kepada Mama.
"Siapa dia tu?" Mama menduga dengan tanda kehairanan di wajahnya.
Aku merasa terperangkap dengan soalan Mama. Kelu. Kutatap wajah Mama dalam-dalam. Buat pertama kali aku tercari-cari makna kejujuran di wajah itu. Buat pertama kali aku merasa ragu untuk menerangkan pada Mama. Buat pertama kali aku meragui Mama. Adakah Mama akan menyimpan dan merahsiakan segala apa yang akan kuceritakan?
"Tak ada sesiapa lagi, Mama. Cuma Along baru terfikir mengenainya." Akhirnya terlepas jugak beban yang beberapa hari ini terpendam di hatiku. Perasaan yang baru muncul dan pertama kali kurasa. Perasaan yang sukar dibendung.
"Bersabarlah. Ia akan datang jugak akhirnya nanti. Tapi berhati-hatilah. Jangan sampai terluka." Pesan mama sambil merenungku seolah-olah kehairanan melihat kedewasaan mula menjelma di dalam diriku pada usia yang melewati lapanbelas tahun.
Aku terdiam. Fikiranku bagaikan terhenti. Ingin kuluahkan sebahagian lagi pada Mama, namun lidahku kelu. Tak dapat meneruskan. Biarlah. Mungkin masih ada peluang untuk kucurahkan kepada Mama pada masa akan datang.
***
Malam itu, selepas makan bersama keluarga, aku ke bilik tidur awal kerana merasa agak keletihan dengan aktiviti siang tadi. Tetapi aku terjaga ketika hampir jam sebelas malam. Agak sukar kurasakan untuk kembali lena.
Kubuka lampu meja kecil di kiri katilku. Kucapai sebuah majalah hiburan yang terletak di sebelahnya. Suasana amat sepi. Tak banyak gangguan dari deru kenderaan yang lalu dikawasan perumahan itu. Aku menyelak pantas lembaran demi lembaran seolah-olah kurang berminat dengan isinya. Cuma gambar wajah-wajah model dengan fesyen peragaan terbaru mereka itu saja yang kuberi perhatian.
Tetapi suara halus yang menembusi dinding papan dari sebelah bilikku menghentikan gerakan jariku. Aku terpaku, cuba menumpukan seluruh pendengaran kepada suara itu. Benarlah jangkaanku. Papa dan Mama masih belum tidur lagi. Papa dan Mama masih berada di ruang makan.
Aku bangun dan merapatkan telingaku ke dinding bersebelahan ruang tamu. Masih tak jelas kedengaran. Tapi aku dapat menangkap dialog perbualan Mama dan Papa. Cuma tidak pasti apakah tajuk perbualan mereka. Mungkin aku terlewat sedikit untuk memahaminya dari mula.
"Papa mesti beritahu dia sekarang. Sudah sampai waktunya." Tegas Mama.
"Budak tu masih terlalu mentah. Masih terlalu awal. Ada banyak masa lagi. Tunggulah dia habis belajar dulu." Tingkah Papa.
Sehingga sekarang Papa masih merujuk kepada aku dan adikku sebagai 'budak'. Agaknya Papa masih tidak sedar perubahan pada diriku. Tidak nampak bahawa bentuk badanku semakin menyerlahkan sifat-sifat kewanitaanku. Atau memang Papa tidak mahu menerima kedewasaanku. Atau Papa memang mahukan kami terus kekal sebagai kanak-kanak yang akan patuh kepada semua kata-katanya.
Sebab itulah aku tak dapat meneka kepada siapa perbualan tersebut ditujukan. Mungkin kepadaku dan mungkin kepada adik lelakiku. Namun hati kecilku terus berkata bahawa tentang diriku yang mereka bincangkan. Tetapi mengenai apa ? Adakah mereka membincangkan mengenai apa yang kuceritakan pada Mama siang tadi. Entahlah. Mungkin lebih baik aku menyambung tidurku. Mungkin itu adalah jauh lebih baik.
Aku baru sahaja menyemak waktu pada komputer didepanku. 18:40:35. Jam telah melewati 6.30 petang. Masih ada lebih kurang 20 minit lagi untuk aku mengakhiri tugas hari ini. Pelanggan pun sudah semakin berkurangan. Cuma tinggal dua orang sahaja lagi. Itu pun mereka sudah kelihatan sedang bersiap-siap untuk menamatkan masa penggunaan komputer mereka.
Akhirnya aku tinggal sendirian setelah mereka selesai membuat bayaran. Lalu kembali menatap komputer khas yang ada di depan mataku. Dan jari-jemariku dengan pantas mengetuk kekunci komputer.
Baik aku tutup dulu pintu depan kedai. Biasanya di waktu-waktu hampir senja begini jarang ada pelanggan baru. Pinta hati kecilku sambil kakiku melangkah pantas menuju ke arah pintu kaca. Dinding kaca bahagian hadapan kedai yang lutsinar masih membenarkan pelanggan melihat dan mengetahui yang kedai tersebut masih dibuka. Aku sengaja tidak membalikkan tanda 'BUKA' yang tergantung di pintu kaca tersebut.
Aku kembali mengadap komputer khas di kaunter.
Login: Iman
Password: ********
Aku menekan kekunci Ctrl+M untuk terus kepada Menu Pengguna. Terdapat tiga jenis Menu Pengguna. Aku sebagai Pengendali Sistem mempunyai senarai PILIHAN yang lengkap termasuk menambah, menggantung dan membatalkan pengguna. Aku juga mempunyai 'kuasa' mengeluar atau menghentikan pengguna dari Sistem tersebut pada bila-bila masa. Biasanya aku menggunakan 'kuasa' ini jika mendapati Pengguna Sistem menggunakan bahasa yang kurang sopan. Setakat ini aku belum pernah menggunakan kuasa itu.
Pada Menu Pengguna aku memilih Senarai Pengguna. Bilangan Pennguna: 2. Ada orang lain selain dari aku sedang menggunakan Sistem tersebut. Aku menyemak nama yang tertera di bahagian bawah skrin tersebut. Ina. Pengguna baru agaknya, bisik hatiku.
Iman: Assalamualaikum, Ina.
Ina: Waalaikumussalam. Awak ni siapa?
Iman: Saya Iman. Pengendali Sistem ini.
Ina: Ini Sistem baru ke? Tak pernah dengar sebelum ini?
Iman: Lebih kurang begitulah. Macamana awak boleh sampai ke sini?
Ina: Saya terjumpa di Yahoo. Tapi ia terletak di halaman yang agak jauh ke belakang. Itupun saya secara tak sengaja memilih secara rambang halaman yang ada senarai Sistem ini. Nampaknya masih menggunakan teknik lama. Belum menggunakan teknik yang ada grafik.
Iman: Masih terlalu awal. Tak sampai enam bulan lagi. Jika sambutan menggalakkan, ia akan dipertingkatkan. Saya pun sedang belajar teknik-tenik baru merekabentuk dan pemprograman Sistem ini. Sedikit pengenalan kalau tak menjadi masalah.
Ina: Oh, nama saya Ina. Marina. Umur:20. Di Wangsa Maju. Bekerja.
Iman: Awak perempuan, kan?
Ina: Ha ha ha. Tentulah. How about u?
Iman: Saya Iman. Hampir 20. Sedang bekerja. Mengendali RR Cyber Cafe di Kajang. Lelaki.
Nampaknya pengguna bernama Ina ini bersikap agak terbuka. Perkenalan melalui Sistem Chat ini berjalan lancar. Soalan-soalan biasa dijawab tanpa cuba mengelak. Aku sendiri terikut-ikut dengan cara perbualannya. Selalunya aku bersikap sedikit berahsia dengan alasan aku cumalah seorang Pengendali Sistem. Pengendali Sistem tak perlu terlibat dengan pengguna. Tetapi ia tidak berlaku sekarang ini. Buat pertama kali aku sudah melewati prinsip dan tujuan asal aku mengujudkan Sistem Chat ini.
Masa terus berlalu.
Ina: Maafkan. Saya nak keluar sekarang.
Iman: Kenapa ? Bukankah masih terlalu awal.
Ina: Dah masuk Maghrib.
Iman: Oh! Sorry.
Rupanya aku tdak menyedari waktu di skrin komputer telah menunjukkan jam 7.15 malam.
Iman: Datang lagi nanti.
Ina: Insyaallah.
Iman: Macamana kalau saya nak hubungi awak?
Ina: Ini nombor saya (O3-????????). Waktu pejabat. Jumpa lagi. Bye.
Iman: Awak boleh ke sini lagi hari Isnin. Jam 5.00 petang hingga 10.00 malam. Okay? Bye.
Aku serta-merta mencatatkan nombor telefon tersebut dalam satu nota kecil dan menyimpan kemas di dalam dompetku sebelum keluar dari Sistem Chat tersebut.
Masih ada rasa getaran halus di hatiku ketika meninggalkan Cyber Cafe pada malam itu. Satu perasaan yang luar biasa. Perkenalan yang singkat dan pantas tersebut mengejutkan kehidupan realitiku. Terasa semacam ada renjatan budaya berlaku ke atasku. Seolah-olah tak mahu menerima hakikat bahawa perkenalan di alam cyber boleh berlaku dengan sekelip mata.
Hakikat sebenar kehidupanku amatlah jauh berbeza. Sedangkan hendak berbual dengan perempuan yang duduk di sebelahku di dalam bas pun kurasa amat sukar. Ini kan pula menegur dengan tujuan hendak berkenalan.
Mungkin sikap Ina yang terbuka itu sendiri yang dapat mengubah prinsip kehidupanku. Tetapi takkan ia boleh berubah semudah itu. Sepantas itu.
Atau mungkin kerana tiada sentimen perasaan ketika perkenalan itu. Tiada kesan Psikologi. Tiada rasa malu. Tiada rasa segan. Seakan berbual dengan robot. Semuanya berlaku di balik skrin komputer masing-masing.
Atau mungkin juga aku sendiri yang tidak menyedari perubahan sikapku. Tidak menyedari fikiran dan perasaanku semakin berbeza. Semakin dewasa. Mungkinkah?
Pagi-pagi lagi aku sudah terjaga dari tidur. Selepas subuh aku berpindah ke ruang tamu dan berbaring di sofa. Aku membuka tingkap depan menghala ke halaman. Suasana pagi yang samar kebiruan memenuhi ruang depan mataku. Kesunyian menyelubungi diriku.
Menikmati kedamaian dan ketenangan pagi itu cukup menyenangkan hatiku. Jauh berbeza dari keadaan kehidupan di kampus yang sentiasa mengejar waktu. Dan sentiasa berlari-lari antara kuliah, tutorial dan ulangkaji di perpustakaan.
Tetapi itu adalah sesuatu yang harus dilalui oleh semua orang, kata hatiku cuba memujuk. Suatu tanggungjawab yang harus dipikul. Mungkin akan ada lagi tanggungjawab yang jauh lebih besar seperti kata Papa. Mama tidak pernah membayangkan kepadaku tentang kehidupan masa depan. Mama selalu menasihatkan ku supaya memenuhi setiap hari ku dengan sesuatu yang berfaedah. Kita menghadapi hari ini yang ada dalam genggaman, jadi janganlah mengharap kepada esok yang belum pasti datang, kata Mama. Aku tak pasti samada ia lahir dari fikiran Mama sendiri atau dipetik dari mana-mana kata pujangga. Aku sendiri pun tidak jelas maksud Mama.
Kurasakan hari minggu ini merupakan hari yang paling tenang dalam hidupku. Keluar dari suasana kampus dan lingkungan pelajaran yang mencabar itu dapat memberikan aku peluang merenung diriku, merenung kehidupanku dan merenung masa depanku. Apakah yang ingin kucari? Atau ingin perolehi?
"Awal Along bangun hari ni." Aku dikejutkan dari menungan oleh suara adikku dari belakang.
Aku menoleh kebelakang dengan wajah yang hambar. Pura-pura tidak terperanjat. Dan tidak terkejut dengan kehadirannya.
Tanpa kusedar siang telah semakin hampir. Kokok ayam sudah semakin menghilang. Semakin jarang kedengaran.
"Adik ! Boleh temankan Along ke rumah Lia hari ini?" Aku menyuarakan rancanganku pagi ini tanpa memberi perhatian kepada soalannya.
"Adik ada 'game'lah pagi ini. Along pergi sorang sajalah." Adikku cuba mengelak.
"Dah lama kita tidak ke rumah Mak Long. Bolehlah." Aku memujuk. Mengalihkan tujuan dari menemui Lia, sepupuku, kepada menemui emak saudaraku.
"Adik boleh hantar. Tapi adik tak nak singgah." Dia menyarankan.
Aku bersetuju. Ia lebih baik daripada aku berjalan sendirian ke sana. "Tapi jangan lupa datang jemput masa nak balik nanti."
Aku tahu adikku tak akan mengecewakan permintaanku. Dan aku juga tahu kenapa dia tidak mahu ke sana kecuali kalau terpaksa. Dulu semasa kecil dia sering diejek untuk dijodohkan dengan adik perempuan Lia yang sebaya dengannya. Ketika itu mereka berdua masih di sekolah rendah dan dalam kelas yang sama. Dan tentulah agak sukar untuk mereka menepis segala ejekan dari rakan sekelas mereka yang seramai tiga puluh orang itu.
Rupanya ejekan tersebut memberi kesan yang mendalam kepada dirinya. Aku sudah lama menyedarinya. Papa dan Mama serta Mak Long dan Pak Long cuma tersenyum sahaja mendengar ejekan itu. Agaknya mereka merasakan ada baiknya jika ia benar-benar terjadi. Semoga dapat menambahkan ikatan kekeluargaan kami.
***
Rumah Lia sepupuku itu bukanlah jauh sangat. Lebih kurang seratus meter dari rumahku. Atau sejarak 5 buah rumah dari rumahku. Ia terletak di penghujung lorong yang sama dengan lorong ke rumahku. Di belakang rumahnya terdapat satu kawasan belukar kecil yang pernah menjadi tempat permainan kami dengan budak-budak lelaki semasa kecil. Nampaknya kawasan belukar itu semakin menghilang dilanda arus kemajuan.
Dulu kawasan perumahan itu, menurut papa, adalah merupakan sebuah kampung yang kecil sahaja. Tetapi kerana kedudukan kawasan itu yang hampir dengan Bandaraya Kuala Lumpur, walaupun ia terletak dalam kawasan Selangor, kesan pembangunan begitu cepat menghakis peninggalan Atuk dan Nenek. Kini nama kampung sudah semakin dilupakan. Berganti dengan berbagai nama Taman. Aku sendiri pun kadang-kadang terkeliru samada hendak memanggil kawasan itu sebagai Kampung atau Taman.
Rumah-rumah yang dulunya cuma sebuah rumah papan kecil yang dikelilingi pohon-pohon kelapa kini bertukar menjadi rumah banglo setingkat berdinding kongkrit dan beratap genting. Cuma Papa sahaja yang sengaja mengekalkan bahagian depan rumah dengan bentuk tradisional Melayu berdinding papan dan bertiang kayu.
Rumah Maklong tak kurang hebatnya. Terdapat satu ruang bawah tanah yang besar menjadikan rumah tersebut banglo 2 tingkat yang tidak kelihatan dari luar. Tetapi aku memang tahu benar keseluruhan bahagian dalam rumah Mak Long itu. Ruang bawah tanah itu memuatkan 2 bilik tidur kecil dan satu ruang rehat. Semasa kecil dulu aku sering berada di situ seolah-olah ia menjadi rumah kedua bagiku. Banyak masa yang telah kuhabiskan di sana terutama ketika Mama dan Papa bekerja.
Tetapi kini semua itu tinggal kenangan semata. Zaman kanak-kanak telah lama berlalu. Lia sendiri pun sudah semakin dewasa. Sebaik sahaja menerima keputusan peperiksaan sekolah menengah yang kurang memuaskan, dia terus bekerja sebagai Pembantu Tadbir di sebuah kolej. Dan tak lama lagi dia mungkin akan mendirikan rumahtangga kerana khabarnya dia telah pun mempunyai calon yang sesuai.
"Assalamualaikum..." Aku bersuara setibanya di sana. Dan semakin nyaring apabila salam pertamaku tidak bersambut.
Adikku serta-merta berlalu apabila ternampak pergerakan bayang-bayang di balik dinding kaca di hadapan kami. Meninggalkan aku sendirian di situ.
"Waalaikumussalam. Siapa di luar tu? Ooo, Anis. Masuklah." Mak Long muncul dengan wajah yang ceria melihat kehadiranku.
"Lia ada di rumah, Mak Long?." Soalku pantas.
"Ada. Tapi masuklah dulu." Jawab Mak Long.
Sebelum sempat aku melabuhkan diri di sofa ruang tamu, Lia telah muncul dengan senyuman lebar. Kami terus berpelukan. Tak dapat menyatakan kegembiraan dengan kata-kata.
Lia terus menarik tanganku menuju ke biliknya. Pasti ada sesuatu yang ingin ditunjukkan kepadaku. Sesuatu yang baru.
"Yang ini aku beli dari duit gaji pertama." Katanya dengan bangga sambil menunjukkan satu kotak kecil bersalut baldu yang baru dikeluarkan dari laci meja solek. Aku mengambilnya. Meletakkan tepat di atas tapak tanganku sambil menatap wajahnya. Kehairanan.
"Bukalah. Tengok." Pintanya.
Aku berhati-hati membuka penutup kotak itu. Seutas gelang emas yang disusun kemas di dalamnya.
"Yang ini pun sama?" Aku menunjuk kepada sebentuk cincin permata kecil di tengah kotak itu.
"Tak. Cincin itu adalah hadiah harijadiku yang lepas."
"Siapa yang hadiahkan?" Kehairananku bertambah lagi. Setahu aku, jarang cincin dijadikan hadiah harijadi.
"Kawan." Jawab Lia selamba.
"Lelaki ke?" aku menyoal lagi.
Lia angguk. Tetapi dia tidak berminat untuk menjelaskan. Seolah-olah itu tidak penting baginya. Seolah-olah pemberian itu sama seperti lain-lain hadiah yang pernah diterimanya.
"Jadi benarlah seperti yang aku dengar?." Aku terus mendesak.
"Alah, cuma kawan." Lia terus mengelak.
Aku terdiam. Hatiku merasa sedikit tersentuh. Terdapat sedikit perubahan yang tidak dapat kuterima. Lia sudah mula berahsia denganku. Mungkin ada sesuatu yang disembunyikan dariku. Mungkin ada sesuatu yang tak boleh dikongsi denganku. Tidak seperti dahulu. Mungkin kali ini Lia tak dapat berkongsi denganku.
Mungkin ia terlalu peribadi, aku cuba memujuk hatiku.
"Macammana dengan study kau?" Lia mengalihkan perbualan. Agaknya dia pun menyedari perubahan warna air mukaku yang tampak kecewa.
"Ok." Jawabku pendek. "Tapi duduk kat campus tak berapa menarik. Tak ramai kawan macam masa sekolah dulu"
"Masih terlalu awal."
Dan perbualan itu terhenti di situ. Aku sendiri lebih berminat hendak mengetahui tentang diri Lia daripada menceritakan tentang diriku sendiri. Malangnya Lia menganggap itu tidak penting baginya.

Comments
Post a Comment